
Wong Mian Kim yang mengetuai Persatuan Penduduk Blok 45-54 berkata, pembersihan itu tidak menyelesaikan punca masalah “orang luar” datang membuang sampah di situ.
Katanya, sukar memastikan kawasan itu kekal bersih kerana ia tidak berpagar menyebabkan orang ramai masih boleh keluar masuk sesuka hati.
Terdapat 88 blok perumahan di Taman Ungku Tun Aminah yang merangkumi 952 flat berusia 40 tahun dan ke atas.
“Apa yang dilakukan kerajaan tidak menyelesaikan punca masalah.
“Tiada tempat khusus untuk orang ramai (dari luar kawasan ini) membuang sampah, jadi mereka membuang sampah merata-rata,” katanya kepada FMT sambil menambah ada penduduk tidak mempunyai tahap kebersihan tinggi.
Wong berkata, terdapat juga masalah lain seperti keselamatan, paip bocor dan kekurangan tempat letak kereta.
Menurutnya, pihak pengurusan terbeban dengan yuran pengurusan tidak dikutip kerana kebanyakan pemilik menyewakan kediaman mereka dan ia hanya mampu menghantar surat peringatan kepada pemilik rumah untuk membayar jumlah tertunggak.
“Satu-satunya cara mendapat bayaran penuh yuran pengurusan tertunggak adalah apabila pemilik mahu menjual kediaman mereka, jika tidak, mereka tidak boleh mendapat surat ikatan hak milik,” katanya.
Adun Skudai, Marina Ibrahim berkata, kawasan itu dipenuhi sisa pepejal kerana tiada hubungan baik antara badan pengurusan dan masyarakat, yang juga dikaitkan dengan yuran pengurusan tidak dibayar.
“Saya harap semua penduduk, sama ada pemilik atau penyewa, bersikap bertanggungjawab,” katanya kepada FMT. Yuran pengurusan adalah RM15 hingga RM30 sebulan, bergantung kepada badan pengurusan setiap blok.
Bagaimanapun, katanya, yuran tertunggak di sebuah flat saja mencecah lebih RM1 juta.
Beliau sudah berbincang dengan Datuk Bandar Iskandar Puteri, Haffiz Ahmad mengenai pelan rejuvenasi kawasan flat kos rendah itu, yang akan dilaksanakan secara bersama oleh majlis bandar raya itu dengan KPKT.
Ia turut merangkumi pembaikan bumbung, sistem paip, pendawaian dan perparitan, selain mengecat semula bangunan perumahan itu. Semua ini akan dilakukan dalam beberapa fasa.
Jumaat lalu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, dianggarkan 90 tan longgokan sisa pukal dikutip, manakala 50 tong sampah beroda digantikan dan 449 lagi dibaik pulih.