Azmin perlu jadi calon jika PN mahu tawan Selangor

Azmin perlu jadi calon jika PN mahu tawan Selangor

Penganalisis tidak nampak individu selain Azmin Ali yang berwibawa menjadi calon menteri besar Perikatan Nasional.

Azmin Ali, yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, enggan mengulas sama ada beliau akan bertanding atau dicalonkan pada PRN Selangor nanti.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional harus mempertaruhkan Azmin Ali pada PRN di Selangor kelak jika ia mahu menawan negeri itu, memandangkan tiada individu lain yang selayak beliau untuk menjadi wajah gabungan itu, kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata Azmin mempunyai kewibawaan untuk meyakinkan pengundi berbanding watak lain dalam gabungan itu.

“Kalau PN nak menang di Selangor, calon menteri besar itu penting dan tiada orang selain Azmin yang dikatakan mempunyai kewibawaan untuk menjadi menteri besar sekali lagi,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, PN memutuskan ia tidak akan menampilkan mana-mana pemimpin sebagai “poster boy” pada PRN Selangor kelak. Perkembangan itu selepas Pengerusi Muhyiddin Yassin mengumumkan Azmin dan Pengerusi Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari, akan membantu Naib Presiden Bersatu, Mohd Radzi Md Jidin, menyelaras PRN kelak.

Selain pernah menjadi menteri besar Selangor (2014-2018), Azmin menganggotai Jemaah Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin, serta bekas timbalan presiden PKR.

Mujibu Muis dari Universiti Teknologi Mara senada mengatakan ketiadaan Azmin sebagai calon PN akan mengurangkan peluang gabungan itu merampas Selangor daripada Pakatan Harapan.

“Beliau berpengaruh dan berpengalaman serta mampu membantu PN bertempur dalam PRN,” katanya.

Azmin ketika ditemui pada majlis Aidilfitri PN kelmarin berkata beliau tiada rancangan bertanding pada PRN bagi memberi laluan kepada calon muda.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia bagaimanapun percaya Azmin akan bertanding atas kehendak parti.

“Itu mungkin hasratnya sekarang, tapi apabila sampai masanya, boleh jadi beliau akan bertanding juga,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi tidak percaya PN akan mengangkat bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar, sebagai wajah gabungan itu nanti.

“Stigma negatif dia dengan rakyat Selangor ketika jadi ahli Umno sangat tinggi,” katanya.

Noh sebelum ini menafikan laporan yang mendakwa beliau akan menjadi calon PN pada PRN akan datang, mengatakan hanya pimpinan parti yang layak menentukan hal itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.