Zaliha bentang komitmen digitalkan sistem penjagaan kesihatan di Geneva

Zaliha bentang komitmen digitalkan sistem penjagaan kesihatan di Geneva

Komitmen itu dinyatakan bagi meningkatkan taraf perkhidmatan kesihatan di negara ini, kata menteri kesihatan.

Dr Zaliha Mustafa berada di Geneva untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan Komanwel dan Persidangan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-76. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa membentangkan komitmen Malaysia untuk mendigitalkan sistem penjagaan kesihatan negara dan pendekatan berasaskan data pada Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan Komanwel (CHMM) di Geneva, Switzerland pada Sabtu.

Beliau berkata, komitmen itu dinyatakan bagi meningkatkan taraf perkhidmatan kesihatan di negara ini.

“Sesi seterusnya menyentuh hal terkait kesediaan menghadapi pandemik, dengan penekanan khusus terhadap mempromosikan kesaksamaan pembangunan produk kesihatan dan teknologi,” katanya dalam hantaran Facebook.

Zaliha yang berada di Geneva untuk menghadiri mesyuarat itu dan Persidangan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-76 berkata, beliau turut membincangkan iltizam negara-negara anggota untuk mencapai Kesihatan Sejagat (UHC) menjelang 2030.

Beliau turut menegaskan peranan mustahak Penjagaan Kesihatan Primer bagi mencapai Kesihatan Sejagat pada WHA yang berlangsung bermula hari ini hingga 30 Mei itu.

Zaliha turut menyeru menteri-menteri kesihatan Komanwel untuk memberikan insentif berbentuk penstrukturan cukai, pembiayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kerjasama strategik bersama pihak berkepentingan berkaitan bagi menggalakkan perkembangan industri pembuatan tempatan di negara masing-masing.

“Nantikan perkembangan dari semasa ke semasa delegasi Kementerian Kesihatan di Geneva, demi rakyat dan sistem kesihatan Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.