
Penegasan itu dibuat Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, yang turut meminta Zahid berpegang kepada prinsip dan berhati-hati dalam segala perkara berkaitan hubungan atau kerjasama antara BN dan PH.
“Perlu diingatkan bahawa sebagai pengerusi BN, beliau haruslah menjaga kepentingan dan mengutamakan parti komponen dalam BN, bukannya mengutamakan PH terutamanya DAP.
“Kerjasama antara BN dan PH perlulah ada timbal balas dan menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan.
Chong turut menegaskan sebarang pandangan membabitkan MCA mesti dibuat parti itu sendiri dan pemimpinnya khususnya presiden Wee Ka Siong.
Katanya, pihak lain tidak seharusnya membuat pendirian dan pandangan mewakili MCA.
“Ditegaskan juga bahawa apa jua pendirian dan pandangan oleh MCA mestilah dikeluarkan oleh pemimpin MCA, khususnya presiden MCA sendiri, bukannya pihak lain,” katanya.
Sabtu lalu, Zahid mengakui Umno sukar “memujuk” ahlinya menerima kehadiran DAP sebagai rakan sekutu yang membentuk kerjasama dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
Presiden Umno itu berkata, pihaknya sedia bertemu dan menyantuni kumpulan berkenaan bagi memberi penerangan berkait kerjasama antara Umno dengan parti tersebut.
“Dulu pengundi BN memberi sokongan kepada calon MCA dan MIC. Untuk itu, kita akan gunakan kaedah yang sama bukan atas nama parti, tetapi atas rasa kebersamaan dalam kerajaan perpaduan,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Ahmad Maslan dilaporkan berkata, ahli parti itu perlu melihat calon DAP dalam PRN akan datang sebagai mewakili kerajaan perpaduan, bukan parti itu sendiri.