Penjual ikan ditahan bersama dadah RM3.2 juta

Penjual ikan ditahan bersama dadah RM3.2 juta

Polis berkata suspek mendapatkan bekalan dari luar negara dengan menjadikan kediaman mewah sebagai stor simpanan sebelum diedarkan bagi pasaran sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Kuala Lumpur Shuhaily Mohd Zain menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang penjual ikan yang menjalankan kegiatan mengedar dadah dengan menjadikan sebuah kondominium dan banglo sekitar Lembah Klang sebagai stor penyimpanan bahan terlarang itu.

Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan selepas polis melancarkan Op Snakewood bermula 8.20 malam hingga 10.40 malam dalam serbuan pertama terhadap sebuah kondominium di Selayang, Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Shuhaily Mohd Zain, berkata hasil tangkapan itu, polis menemui 10 biji pil ekstasi disembunyikan dalam beg silang dipakai suspek.

“Susulan tangkapan itu, polis melakukan serbuan kedua sebelum merampas pil ekstasi dan Erimin 5 seberat 20kg dalam kereta Mercedes Benz yang di parkir kondominium sama,” katanya menurut Berita Harian.

Shuhaily berkata, susulan itu polis melakukan serbuan ketiga di sebuah rumah di Batu Caves, yang dipercayai dijadikan stor untuk menyimpan dadah dan menjumpai pil Erimin 5 seberat 58kg.

“Jumlah keseluruhan dadah dirampas adalah 77kg pil Erimin 5 dan 760g pil ekstasi dianggarkan bernilai RM3.2 juta yang boleh menampung 250,000 penagih.

“Dalam operasi itu, polis menyita harta milik suspek membabitkan wang tunai berjumlah RM21,000; dua kereta Mercedes-Benz dengan nilai semasa RM350,000 dan Perodua Alza dianggarkan bernilai RM40,000.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah serta sitaan harta adalah RM3.6 juta,” katanya.

Shuhaily berkata, berdasarkan modus operandi, suspek mendapatkan bekalan dari luar negara dengan menjadikan kenderaan serta kediaman mewah sebagai stor simpanan sebelum diedarkan bagi pasaran sekitar Lembah Klang.

Katanya, polis percaya suspek mula bergiat menjalankan kegiatan itu sejak Januari lalu disebabkan desakan hidup sebagai penjual ikan.

“Kita juga sedang menyiasat rangkaian sindiket berkenaan kerana dipercayai suspek baru sahaja bermula dalam kegiatan itu, namun sudah mendapat bekalan begitu banyak,” katanya memaklumkan suspek tiada rekod jenayah dan saringan air kencing positif amphetamin.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari bermula 19 hingga 25 Mei bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.