Muat naik hantaran hasutan, lelaki ditahan

Muat naik hantaran hasutan, lelaki ditahan

Suspek berusia 51 tahun ditahan di Kuala Muda, Kedah.

Suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung hantaran menghasut terhadap pentadbiran keadilan.
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki ditahan kerana disyaki memuat naik hantaran berunsur hasutan di media sosial.

Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata lelaki berusia 51 tahun itu yang menggunakan nama @Cheartstudi dalam akaun TikTok miliknya ditahan di sekitar Kuala Muda, Kedah, Sabtu lalu.

“Suspek disyaki memuat naik hantaran berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek direman tiga hari hingga 23 Mei mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Noorsiah mengingatkan orang ramai menghormati institusi kehakiman negara yang dirangka kewujudannya berpandukan Perlembagaan Persekutuan untuk menegakkan keadilan berlandaskan undang-undang.

“Mana-mana individu atau pihak didapati dengan sengaja mengeluarkan sebarang kenyataan bagi maksud menghina atau memperlekeh sistem perundangan Malaysia akan diambil tindakan tegas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.