Kandungan porno, dadah, SKMM diarah teliti tindakan terhadap Telegram

Kandungan porno, dadah, SKMM diarah teliti tindakan terhadap Telegram

Fahmi Fadzil berkata kerajaan sudah mengarahkan penyelesaian berhubung perkara itu, namun tidak dipeduli Telegram.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Fahmi Fadzil, berkata sejak awal pentadbiran kerajaan perpaduan, Telegram sudah diarah menyelesaikan kandungan melanggar undang-undang negara.
PETALING JAYA:
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) meneliti tindakan tegas terhadap Telegram berhubung kandungan pornografi dan dadah dimuatnaik dalam aplikasi itu.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, selain itu, pihak kementerian termasuk SKMM juga akan mengenakan tindakan terhadap penjualan ubat-ubatan tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan juga dalam aplikasi sama.

“Semua perkara ini amat merisaukan kerana melanggar undang-undang, dari awal pentadbiran (kerajaan perpaduan) saya dah arah panggil (pihak) Telegram (untuk cari penyelesaian) isu ini tapi sehingga kini, mereka enggan maka saya minta SKMM teliti tindakan tegas yang sepatutnya,” katanya menurut Bernama.

Dalam pada itu, SKMM akan memperkasa jalinan kerjasama dengan Meta Platforms Inc (Meta) dalam usaha mengekang aktiviti di laman Facebook yang bercanggah dengan undang-undang negara.

Fahmi berkata, SKMM telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan Meta minggu lalu dan antara dibincangkan ialah kawalan terhadap laman Facebook yang terlibat dengan perjudian dalam talian selain iklan pelaburan tidak wujud atau scam.

“Saya harap kerjasama kita menerusi SKMM dengan Meta ini terus erat dalam usaha kita mengekang sebarang penyalahgunaan di platform berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kewujudan akaun Telegram yang membincangkan topik lucah kendalian seorang wanita.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan, memaklumkan perkara itu sedang dalam tindakan serta siasatan lanjut SKMM mengikut Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Berkenaan memanggil dan membuat pertemuan dengan wanita berkenaan, Jakim telah berhubung dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (Jheat) memandangkan pihak berkenaan menetap di negeri Terengganu.

“Pihak Jakim juga telah dimaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh pihak Jheat bagi membolehkan satu siasatan dilakukan,” katanya.

Antara dakyah yang dipromosikan oleh wanita itu ialah menyuruh suami merogol isteri dan isteri melayani suami umpama pelacur, selain terdapat kiriman di dalam kumpulan Telegram itu yang menyuruh para suami menyakiti isteri jika enggan melayani mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.