Bila peguam YBGK akan dibayar, soal Takiyuddin

Bila peguam YBGK akan dibayar, soal Takiyuddin

Ahli Parlimen PN Kota Bharu berkata terdapat hutang kira-kira RM10 juta terhadap peguam yang menyediakan bantuan guaman bagi golongan tidak berkemampuan.

Ahli Parlimen PAS Takiyuddin Hassan bertanya di Dewan Rakyat sama ada fungsi Akta Pembelaan Awam yang dicadangkan akan bertindih dengan fungsi YBGK sedia ada. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan berhutang kira-kira RM10 juta dengan peguam yang membantu golongan miskin melalui Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), dakwa seorang Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat.

Dalam soalan tambahan kepada Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bertanya sama ada peguam membantu golongan miskin bawah Akta Pembelaan Awam yang dicadangkan akan diberi pampasan adil atau pembayaran mereka akan ditangguhkan.

“Di Malaysia, sudah ada satu skim bantuan guaman – Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) – sejak 2010. Adakah perkhidmatan bawah akta baharu ini tidak akan bertindih dengan fungsi YBGK?

“Keduanya, adakah kerajaan boleh jamin peruntukan kewangan yang cukup akan disediakan untuk (membayar peguam) apabila akta ini diwujudkan?

“Dua hari lepas, didedahkan dalam mesyuarat Majlis Peguam, lebih RM10 juta tunggakan YBGK tidak dibayar. (Ini maknanya) peguam-peguam kecil, yang beri tumpuan bela marhaen, tak dapat bayaran,” katanya.

Dalam jawapannya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata YBGK ialah sebuah syarikat berhad menurut jaminan, dan beliau tidak menerima sebarang aduan mengenai kelewatan pembayaran daripada yayasan itu.

Bagaimanapun, katanya, tidak seperti YBGK, akta baharu itu akan memastikan peguam membantu golongan miskin yang didakwa atas kegiatan jenayah akan menerima “pampasan yang adil”.

Mengenai sama ada fungsi YBGK akan bertindih dengan Akta Pembelaan Awam, Azalina berkata, terdapat perkhidmatan bantuan guaman awam yang lain termasuk, jabatan bantuan guaman kerajaan, pusat bantuan guaman Majlis Peguam, YBGK dan klinik guaman dianjurkan oleh universiti awam seperti Universiti Malaya.

“Saya tak dapat kata apa akan terjadi kepada YBGK, (belum) buat keputusan dasar, sama ada YBGK dimasuk atau diasingkan, saya tak boleh jawab soalan itu lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.