Pesara polis maut dirempuh ketika pusingan U

Pesara polis maut dirempuh ketika pusingan U

Kereta dipandu Che Mohd. Noor Awang, 63, dirempuh sebelum diseret sejauh 30 meter oleh trak pikap ketika membuat pusingan U.

Menurut polis, nahas berpunca daripada kecuaian mangsa membuat pusingan U dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
PETALING JAYA:
Seorang pesara polis maut apabila keretanya dirempuh dan diseret sejauh 30 meter oleh sebuah trak pikap ketika melakukan pusingan U di Jalan Kota Bharu-Terengganu dekat Melor, semalam.

Mangsa, Che Mohd. Noor Awang, 63, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu.

Ketua Polis Kota Bharu, Mohd Rosdi Daud, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang memandu Perodua Viva dalam perjalanan dari arah Melor ke Kubang Kerian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, mangsa membuat pusingan U namun sebuah trak pikap dipandu remaja 18 tahun tidak sempat mengelak lalu merempuh keretanya.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, Isuzu D-Max dipandu seorang remaja itu tidak sempat mengelak dan merempuhnya.

“Kejadian itu menyebabkan kereta mangsa diseret sejauh 30 meter. Warga emas itu yang tersepit dan tidak sedarkan diri di dalam keretanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Utusan Malaysia.

Rosdi berkata remaja terbabit hanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Katanya, siasatan lanjut mendapati nahas berpunca daripada kecuaian mangsa membuat pusingan U tanpa memberi keutamaan laluan kepada trak pikap terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.