PAS guna Proklamasi Melayu tarik pengundi atas pagar, kata penganalisis

PAS guna Proklamasi Melayu tarik pengundi atas pagar, kata penganalisis

Penganalisis sosio-politik Awang Azman berkata tanpanya, parti itu tidak mempunyai banyak isu untuk menghadapi enam PRN akan datang.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menandatangani Proklamasi Melayu di hadapan Dr Mahathir Mohamad pada 3 Mei lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PAS sedang memanfaatkan “Proklamasi Melayu” yang dimulakan oleh Dr Mahathir Mohamad kerana parti itu nampaknya sukar untuk menarik pengundi Melayu “atas pagar,” menurut seorang penganalisis.

Penganalisis sosio-politik Awang Azman dari Universiti Malaya berkata walaupun parti itu mempunyai penyokong tegar yang akan mengundi parti walau apa juga keadaan, golongan muda terutama mereka yang belum membuat keputusan tidak akan mudah terpengaruh dengan gaya propaganda parti itu dalam kempen mereka.

“Tanpa Proklamasi Melayu, parti itu tidak mempunyai banyak isu untuk mempengaruhi kumpulan pengundi ini dalam enam pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Bagaimanapun, ia mungkin memberi impak di negeri-negeri teras Melayu di Kelantan, Terengganu dan Kedah di mana majoriti pengundi PAS berada.

“Apa yang jelas, proklamasi itu digunakan untuk meraih simpati dan sokongan daripada pengundi Melayu khususnya di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Harapan iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dengan mengatakan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim tidak melindungi hak orang Melayu. Ini bertujuan untuk melemahkan kerajaan,” katanya kepada FMT.

Awang Azman menyifatkan “Proklamasi Melayu” sebagai retorik dan propaganda politik semata-mata untuk menarik perhatian pengundi dan menggugat kestabilan kerajaan perpaduan walaupun tidak ada asas kepada dakwaan mereka bahawa orang Melayu akan kehilangan kuasa jika Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus memimpin negara.

Beliau berkata berdasarkan angka rasmi mengenai pertumbuhan penduduk di Malaysia, dakwaan Mahathir dan Hadi tidak benar dan mereka secara terang-terangan mengelirukan rakyat Malaysia.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti Islam itu menandatangani “Proklamasi Melayu” di hadapan Mahathir baru-baru ini bagi menandakan sokongan terhadap seruan Mahathir agar orang Melayu bersatu dan “menyelamatkan” komuniti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.