Mahkamah akan dengar sama ada kesalahan pikat isteri orang bercanggah Perlembagaan

Mahkamah akan dengar sama ada kesalahan pikat isteri orang bercanggah Perlembagaan

Mahkamah Rayuan benar tiga persoalan undang-undang dikemukakan bekas polis yang disabitkan kesalahan, memandangkan tiada bantahan daripada pendakwaan.

Antara persoalan undang-undang yang akan didengar Mahkamah Rayuan termasuk sama ada Seksyen 498 Kanun Keseksaan mendiskriminasi lelaki.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan akan mendengar sama ada peruntukan Kanun Keseksaan yang menjadikan satu kesalahan untuk lelaki memikat wanita yang sudah berkahwin bagi tujuan mengadakan persetubuhan yang ditegah bercanggah dengan perlembagaan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Kamaludin Said hari ini memberikan kebenaran kepada seorang bekas anggota polis untuk mengemukakan rayuan selepas peguamnya mengenal pasti tiga persoalan undang-undang untuk ditentukan mahkamah rayuan.

Peguam P Purshotaman berkata, mahkamah perlu menentukan sama ada Seksyen 498 Kanun Keseksaan, undang-undang digubal sebelum Merdeka yang diperkenalkan oleh British, melanggar hak asasi lelaki itu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah berkata, pihak pendakwaan tidak menentang permohonan lelaki berusia 41 tahun itu untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Kamaludin, yang bersidang bersama Hakim Che Ruzima Ghazali dan Azman Abdullah, menggesa kedua-dua pihak bersiap sedia untuk berhujah menyokong dan menentang peruntukan Kanun Keseksaan.

“Jangan mempersendakan undang-undang,” katanya.

Seksyen 498 memperuntukkan barang siapa yang membawa atau memikat seseorang perempuan yang diketahui atau dipercayai sebagai isteri orang lain, dengan niat melakukan persetubuhan yang ditegah melakukan kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya.

Bulan lepas, perayu mengemukakan tiga persoalan dalam permohonannya untuk mendapatkan kebenaran merayu sabitan dan hukuman.

Yang pertama mengenai sama ada Seksyen 498 melanggar Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan dengan mendiskriminasi lelaki.

Yang kedua melibatkan pertimbangan sama ada mahkamah mempunyai kuasa bawah Perkara 162(6) dan (7) Perlembagaan untuk memansuhkan Seksyen 498.

Soalan ketiga bertanya apa pengubahsuaian dan tafsiran yang boleh dibuat oleh mahkamah untuk memastikan Seksyen 498 tidak melanggar Perkara 5(1) dan 8(1).

Perkara 5(1) menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.

Sementara itu, menurut Perkara 8(1), semua orang sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan sama rata di sisi undang-undang.

Bekas anggota polis itu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada 3 Nov 2019 atas tuduhan melakukan kesalahan itu di Kuala Terengganu antara 25 Nov 2016 dan 17 Jun 2018.

Pada 6 Mac tahun lepas, majistret menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,500 selepas tertuduh didapati bersalah. Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara sementara menunggu rayuan. Tertuduh telah membayar denda itu.

Pada 23 Feb tahun ini, Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap sabitan itu, tetapi mengubah hukuman dengan menaikkan denda kepada RM6,000 dan mengetepikan hukuman penjara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.