
Hannah Yeoh berkata kontinjen kali ini merekodkan pencapaian kutipan pingat sebanyak 51%, selepas bertanding dalam 340 acara, lebih baik berbanding 48% pada Sukan SEA 2019, selepas bertanding dalam 386 acara.
Pencapaian ini walaupun 63% daripada 674 atlet dalam kontinjen pertama kali menyertai Sukan SEA, tegasnya.
“Tidak adil banding pungutan pingat emas sahaja memandangkan pada temasya kali ini kita menghantar 63% atlet kali pertama,” kata Hannah pada sidang media rangkuman prestasi Sukan SEA 2023.
“Ini bukan pencapaian terburuk Sukan SEA. Pencapaian 51% jumlah pingat lebih baik daripada 2019 di Manila iaitu 48%.”
Malaysia menutup temasya dwitahunan di Phnom Penh dengan 175 pingat iaitu 34 emas, 45 perak, dan 96 gangsa, daripada 340 acara yang disertai.
Malaysia diletakkan di tangga ketujuh daripada 11 negara peserta, berdasarkan jumlah pingat emas yang diraih.
Sesetengah media melaporkan ia sebagai ‘pencapaian terburuk’ buat negara di Sukan SEA, manakala ada ahli politik pembangkang mahu menteri dan timbalan memohon maaf secara terbuka.
Berdasarkan slaid yang dipamerkan kepada media, meskipun kontinjen negara meraih 34 pingat emas daripada sasaran 40 pingat, ia merangkul 45 pingat perak daripada sasaran 37 pingat, dan 96 pingat gangsa daripada sasaran 64 pingat.
Keseluruhannya, kontinjen negara raih 175 pingat daripada sasaran 141 pingat, dengan 15 daripada 22 acara yang disertai menyumbang emas.
Hannah berkata keanggotaan atlet pada kontinjen kali ini mencerminkan fokus utama kementeriannya, iaitu menggilap atlet muda.
“Saya tidak akan meminta maaf kerana melabur untuk atlet muda, matlamat kita nak bagi mereka pengalaman,” katanya.
“Daripada situ kita akan buat penstrukturan semula. Lihat strategi negara lain seperti Vietnam dan Thailand, apa kekurangan kita.”
Dalam pada itu, Hannah percaya ketidakstabilan politik sebelum ini telah menjejaskan perancangan, peruntukan, dan persiapan untuk Sukan Sea.
“Saya perlu cakap perkara ini: ketidakstabilan politik dalam lima tahun terakhir termasuk dalam sektor ekonomi menyebabkan kita melihat perkara ini sekarang,” katanya.