3 kritikal kereta rempuh gerai nasi lemak

3 kritikal kereta rempuh gerai nasi lemak

Polis berkata siasatan mendapati pemandu Proton Satria itu tidak memiliki lesen memandu, selain cukai jalan dan insurans kereta tamat tempoh.

Proton Satria terbalik selepas terbabas dan melanggar dua kereta dan enam motosikal yang berhenti di gerai nasi lemak di Jalan Hospital, Taman Suria, Jitra pagi tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tiga mangsa dilaporkan kritikal selepas dilanggar sebuah kereta yang terbabas di Jalan Hospital, Taman Suria, Jitra, Kedah.

Ketua Polis Kubang Pasu, Rodzi Abu Hassan, berkata kemalangan pada 8.25 pagi tadi membabitkan tiga kereta dan enam motosikal, dengan kebanyakan pemandu dan penunggangnya sedang membeli nasi lemak di sebuah gerai.

Katanya, siasatan awal mendapati Proton Satria dipandu lelaki berusia 20 tahun itu dipercayai terbabas dan melanggar kenderaan diparkir di tepi jalan, sebelum merempuh pelanggan sedang beratur di gerai nasi lemak itu.

“Sembilan mangsa terbabit dalam kemalangan ini dan tiga daripadanya, termasuk suami isteri yang menjual nasi lemak di gerai itu cedera parah dan kritikal.

“Tiga mangsa yang kritikal itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan lanjut, manakala mangsa lain dihantar ke Hospital Jitra (HJ),” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pemandu Proton Satria berasal dari Jitra itu tidak memiliki lesen memandu, selain cukai jalan dan insurans kereta tamat tempoh.

Katanya, siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti punca kemalangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.