Terima habuan projek Penjana RM1.3 juta, pegawai perkhidmatan ditahan

Terima habuan projek Penjana RM1.3 juta, pegawai perkhidmatan ditahan

Suspek disyaki menerima habuan ribuan ringgit daripada pemilik syarikat pada 2021 dan 2022.

Sumber berkata, lelaki itu dipercayai ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya ketika diminta hadir memberi keterangan.
PETALING JAYA:
Seorang pegawai perkhidmatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima habuan ribuan ringgit daripada seorang pemilik syarikat pada 2021 hingga 2022.

Penahanan lelaki berusia 20-an itu dipercayai ada kaitan tindakannya menerima habuan sebagai dorongan meluluskan permohonan bayaran insentif pengambilan pekerja di bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) bernilai RM1.3 juta.

Menurut sumber, suspek itu dipercayai ditahan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, 4 petang tadi ketika diminta hadir memberikan keterangan.

Sumber berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut menerusi seorang lelaki yang bertindak sebagai orang tengah kepada pemilik syarikat tersebut.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.