PRN: Amirudin sedia lawan Azmin sekali lagi

PRN: Amirudin sedia lawan Azmin sekali lagi

Menteri besar Selangor berkata beliau sedia dicalonkan menentang pengerusi PN negeri di mana-mana kawasan.

Pada PRU15 Amirudin Shari berjaya menewaskan Azmin Ali di Parlimen Gombak.
PETALING JAYA:
Amirudin Shari sedia berdepan Azmin Ali sekali lagi jika pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu bertanding pada PRN.

Pada PRU15, menteri besar Selangor itu berjaya menumbangkan Azmin di Parlimen Gombak dengan majoriti hampir 13,000 undi.

Amirudin yang juga Adun Sungai Tua tidak gentar andai Azmin mahu bertanding di kawasan diwakilinya pada PRN.

“Tak tahu kalau dia hendak pergi ke Sungai Tua tiba-tiba dari Bukit Antarabangsa (kawasan DUN diwakili Azmin), dari bukit turun ke sungai, saya tak pasti itu strategi dia, kita tak pernah bertemu (untuk tujuan tersebut) berbincang apatah lagi merancang.

“Terpulang kepada strategi masing-masing, apa-apahal kita kena bersedia di segenap situasi dan keadaan,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Menurut akhbar itu, Azmin dikatakan tidak akan mempertahankan DUN Bukit Antarabangsa sebaliknya dilapor akan bertanding di Hulu Kelang.

Mengulas jika dicalonkan semula sebagai menteri besar, Amirudin berkata sedia kembali menerajui kerajaan negeri.

“Kalau tanya secara peribadi, selaku ahli parti, kita kena patuh dengan beberapa strategi dan perancangan yang bukan keputusan saya sendiri.

“Kalau tanya pendirian, saya ‘prefer’ untuk kekal, tetapi pasti parti dan pimpinan akan membuat keputusan dan boleh mengadakan perbincangan demi kebaikan semua,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.