
Bagaimanapun, perbuatan suspek lelaki tempatan berusia 46 tahun di kawasan Tandek itu berjaya dikesan dan dipatahkan.
Dia ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kota Marudu pada 3 petang kelmarin.
Ketua Polis Kota Marudu Zairolnizal Ishak berkata, hasil siasatan mendapati suspek terbabit dipercayai aktif mengedar dadah sekitar kawasan daerah berkenaan, Tandek dan Pitas.
Katanya, dengan tertangkapnya suspek, polis merampas dadah jenis syabu dengan berat 1,509.0g, bernilai RM49,500.
“Hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada penemuan 10 paket plastik lutsinar saiz sederhana dan satu bungkusan plastik lutsinar saiz besar berisi dadah jenis methamphetamine atau syabu.
“Dadah syabu seberat 1,509.0g itu ditanam oleh suspek di kawasan seberang sungai kecil berhampiran sawah padi di sebuah kampung di kawasan Tandek,” katanya, lapor Harian Metro.
Zairolnizal berkata, suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Kota Marudu untuk siasatan lanjut.
“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.
Suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama.