Pengasas, presiden pertama Abim meninggal dunia

Pengasas, presiden pertama Abim meninggal dunia

Solat jenazah dijangka diadakan selepas Zohor.

Razali Nawawi meninggal dunia akibat kanser prostat. (Gambar Twitter ABIM)
KUALA LUMPUR:
Pengasas dan bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pertama, Razali Nawawi meninggal dunia pada usia 83 tahun di Hospital Pakar An-Nur pada 6.45 pagi tadi.

Abim menerusi perkongsian di Facebook mengesahkan pemergian Razali yang merupakan sahabat karib Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Semoga Allah merahmati Almarhum dan menempatkannya di sisi-Nya Yang Maha Pengasih,” menurut hantaran itu.

Abim berkata, jenazah diuruskan di Masjid Al-Umm, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi, Selangor dan solat jenazah dijangka diadakan selepas Zohor.

Presiden Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz, ketika dihubungi Bernama berkata, Razali meninggal dunia disebabkan kanser prostat.

Pada 13 Mei lalu, Anwar meluangkan masa menziarahi Razali yang dalam keadaan uzur di kediamannya di Bangi.

Razali menjadi presiden Abim pertama pada 1972 dan memperkenalkan sistem usrah sebelum diambil alih Anwar sebagai presiden Abim kedua pada 1974.

Beliau dilahirkan di Kampung Hutan Pasir, Kelantan dan memperoleh ijazah pertamanya dari Universiti al-Azhar, Mesir pada 1966.

Pada 1971, Razali menamatkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang perbandingan agama di Universiti Birmingham, United Kingdom dan memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1992.

Beiau pernah menjadi profesor di Fakulti Undang-undang UIAM bermula 1 Sept 1983 hingga 31 Dis 2008 dan dekan fakulti itu yang kini dikenali Kulliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim UIAM dari 1983 hingga 1990.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.