Lebih 10 rumah rosak dibadai ribut di Marang

Lebih 10 rumah rosak dibadai ribut di Marang

Persiapan rumah terbuka Aidilfitri TDM Berhad bersama masyarakat Marang turut terjejas apabila lima khemah besar musnah diterbangkan angin.

Sebahagian rumah penduduk di Kampung Padang Mengkuang, Marang yang rosak dilanda ribut petang semalam. (Gambar Facebook)
MARANG:
Lebih 10 rumah di Kampung Padang Mengkuang, Berangan dekat sini, rosak teruk selepas dilanda ribut petang semalam.

Ambak Mohd, 79, berkata dia bersama tiga ahli keluarga lain sedang berehat di rumah selepas makan tengah hari dalam kejadian 3.30 petang itu.

Katanya, tiba-tiba angin kuat membadai rumahnya menyebabkan sebahagian bumbung tercabut.

“Waktu itu hujan tidaklah terlalu lebat, tetapi angin memang sangat kuat dan bunyi yang kuat agak menakutkan.

“Anak lelaki saya mengarahkan kami semua keluar dari rumah kerana bimbang bumbung akan menimpa kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Sementara itu, persiapan rumah terbuka Aidilfitri anak syarikat kerajaan Terengganu, TDM Berhad bersama masyarakat Marang turut terjejas apabila lima khemah besar musnah diterbangkan angin.

Adun Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata selain khemah, pentas utama yang mengambil empat jam didirikan juga runtuh dalam sekelip mata.

Katanya, semua kerja pemasangan khemah dan pentas selesai pagi semalam kerana rumah terbuka Aidilfitri itu petang ini.

“Daripada tujuh khemah yang ada, hanya dua boleh digunakan semula. Kami pun terpaksa mengerah lebih ramai tenaga membina semula pentas dan khemah untuk majlis itu,” katanya ketika ditemui di tapak rumah terbuka Aidilfitri di Kampung Padang Mengkuang.

Bagaimanapun, beliau bersyukur tiada petugas cedera akibat kejadian itu.

“Ada beberapa petugas berada di tempat kejadian ketika ribut melanda, tetapi Alhamdulillah semuanya sempat lari dan berlindung dalam masjid.”

Katanya, semua rumah rosak akan dibaiki segera dan bantuan bersesuaian diuruskan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Adun Pengkalan Berangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.