
Beliau berkata, perkara berkenaan diberikan perhatian tinggi khususnya hantaran dibuat menyentuh sensitiviti agama, kaum, dan institusi diraja.
“Polis memandang serius hal ini (isu 3R) dan kami akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat keharmonian dan ketenteraman agama.
“Oleh yang demikian, polis telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas dikenali sebagai Pasukan Siasatan Khas 3R diwujudkan sejak Mac lepas bagi menangani isu terbabit,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Minum Petang Polis Bersama Media Sempena Aidilfitri di Mes Pegawai Kanan di Bukit Aman.
Acryl Sani berkata, siasatan kes melibatkan 3R dilakukan dengan pantas bagi menjamin keharmonian masyarakat di negara ini.
“Isu 3R perlu dihindari setiap masa dan setiap kertas siasatan berkaitan 3R perlu disiapkan dalam tempoh tujuh hari. Apabila berlaku kes seperti ini kita ambil tindakan pantas untuk menyiasat dalam memastikan agar pelaku dikesan dan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, ini adalah untuk memastikan supaya keharmonian masyarakat majmuk di negara ini terpelihara dan kesejahteraan negara terjamin.
Acryl Sani berkata, sebanyak 23 kes direkodkan pasukan petugas berkenaan bagi tempoh 22 Mac hingga 17 Mei dengan 11 kes membabitkan penghinaan raja atau institusi diraja, empat mengenai agama, dan lima mengenai kaum.
Menurutnya, tiga kes berjaya didakwa, manakala dua lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut, sementara 18 lagi masih disiasat.