Gagal raih sasaran pingat, Hannah minta Fadhli ‘tanya Shahidan sebelum buka mulut’

Gagal raih sasaran pingat, Hannah minta Fadhli ‘tanya Shahidan sebelum buka mulut’

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim merupakan presiden bagi Kesatuan Olahraga Malaysia dan Persekutuan Renang Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, berkata Ketua Pemuda PAS Fadhli Shaari bercakap dengan Shahidan Kassim terlebih dulu sebelum memberi pandangan berhubung prestasi pungutan pingat pada Sukan SEA Kemboja. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh secara sinis meminta Ketua Pemuda PAS Fadhli Shaari bertanya sendiri kepada Shahidan Kassim atas kegagalan negara mencapai sasaran 40 pingat emas, pada Sukan SEA Kemboja.

“Mereka sepatutnya bercakap dengan Shahidan sebelum ‘post’ (muatnaik) ke media sosial.

“Patut tanya apa pendapat beliau mengenai Sukan SEA sebelum PAS buka mulut,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Shahidan selaku Ahli Parlimen Arau merupakan presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Persekutuan Renang Malaysia (MS).

Pada PRU15, beliau bertanding atas tiket Perikatan Nasional selepas disingkirkan Umno.

Pada 14 Mei, Shahidan mengakui kesilapan mengumumkan sasaran membawa pulang 10 pingat emas dari temasya Sukan SEA itu.

Menurut Berita Harian, kem olahraga mengakhiri saingan di dengan lima emas, tiga perak manakala 12 gangsa dengan dua rekod kebangsaan berjaya dicipta menerusi acara 400m individu lelaki Omar Osman dan kuartet 4x100m wanita.

Terdahulu, Fadhli menggesa Hannah dan timbalannya, Adam Adli, memohon maaf secara terbuka atas kegagalan negara meraih 40 pingat emas seperti disasarkan.

Katanya, keputusan diperoleh lebih mendukacitakan bagi keseluruhan rakyat, malah lebih teruk daripada pencapaian Sukan SEA ke-31 di Vietnam, pada 2021.

Kontinjen negara mengumpul 176 pingat merangkumi 34 emas, 45 perak, dan 97 gangsa menjadikan Malaysia berada di tempat ketujuh daripada 11 negara bertanding.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.