FSA Labuan berdepan ‘insiden’ keselamatan siber

FSA Labuan berdepan ‘insiden’ keselamatan siber

Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan berkata, sistem operasi tertentu akan digantung sementara bagi mengelakkan risiko lanjut.

FSA Labuan melantik Mandiant untuk bekerjasama dengan pasukan IT dan vendor aplikasinya bagi menjalankan siasatan menyeluruh ke atas insiden itu.
PETALING JAYA:
Lembaga Perkhidmatan Kewangan (FSA) Labuan mengesahkan ia menghadapi “insiden” keselamatan siber Khamis lalu yang menjejaskan sistem dalam taliannya.

Katanya, ia mengambil langkah segera untuk melindungi sistemnya daripada akses tidak dibenarkan, manakala pihak berkuasa berkaitan dimaklumkan segera berhubung insiden itu.

Badan berkanun bawah Kementerian Kewangan itu turut melantik firma keselamatan siber global, Mandiant untuk bekerjasama dengan pasukan IT dan vendor aplikasinya bagi menjalankan siasatan menyeluruh ke atas insiden itu.

“Buat masa ini, FSA Labuan sedang berusaha mengenal pasti kesan penuh insiden itu ke atas sistem kami,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, katanya, ia akan menggantung sementara sistem operasi tertentu bagi mengelakkan risiko lanjut sambil mengekalkan operasi untuk menyokong pelanggan dengan gangguan minimum.

“Penyelesaian insiden itu akan mengambil masa dan FSA Labuan memohon maaf atas gangguan terhadap perkhidmatan mereka.

“FSA Labuan akan memberikan butiran tambahan memandangkan mereka mempunyai lebih banyak maklumat untuk dikongsi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.