Bertanggungjawab pada musim pilihan raya, penyedia media sosial diberitahu

Bertanggungjawab pada musim pilihan raya, penyedia media sosial diberitahu

M Selvakumar dari USM berkata syarikat teknologi mesti melakukan peranan mereka untuk menghalang polarisasi meluas dalam talian termasuk melalui kandungan dijana AI.

mobile phone socmed
Platform media dinasihatkan perkenal langkah membendung penyebaran maklumat salah di media sosial, platform pemesejan dan saluran dalam talian lain menjelang PRN Sabah 29 Nov. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik menggesa platform media sosial dan aplikasi pemesejan meningkatkan pengawasan kandungan khususnya ketika kempen PRN Sabah bagi membendung penyebaran bahan bersifat memecahbelahkan dan sensitif.

M Selvakumar dari Universiti Sains Malaysia berkata, platform dalam talian mesti memainkan peranan dalam mengekang polarisasi meluas di media sosial walaupun Akta Keselamatan Dalam Talian hanya berkuat kuasa 1 Jan depan.

Katanya, kandungan sepanjang kempen sehingga pengundian sering dipenuhi maklumat salah dari statistik mengelirukan, sindiran halus dan berunsur hasutan.

Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber USM itu menjelaskan, algoritma media sosial memberi reaksi emosi yang kuat, mendorong kandungan bersifat memecahbelahkan dan sensasi sekali gus memerangkap pengundi dalam ‘gelembung maklumat’.

Beliau berkata, landskap digital Malaysia turut menjadi lebih rumit dengan ‘kitaran penyebaran tertutup’, di mana mesej berbaur kaum dan agama tersebar pantas melalui kumpulan WhatsApp dan Telegram tanpa ada semakan fakta atau pemantauan pihak berkuasa.

Katanya, kebolehcapaian kecerdasan buatan generatif menambah satu lagi lapisan risiko.

“Kita mungkin akan melihat deepfake atau imejan dijana AI yang sangat meyakinkan disebarkan dalam tempoh 24 hingga 48 jam sebelum hari mengundi,” katanya kepada FMT, sambil menambah tujuannya untuk ‘memaksimumkan kesan’ terhadap sasaran sebelum kandungan itu sempat dinafikan.

Dalam tempoh tiga tahun lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) meminta platform media sosial menurunkan puluhan ribu hantaran bermasalah — termasuk hampir 8,000 berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Selvakumar berkata, 72 jam terakhir sebelum hari mengundi disifatkan tempoh paling berbahaya, dengan kandungan 3R berunsur hasutan sering disebarkan untuk menimbulkan ketakutan pengundi.

Katanya, lonjakan saat akhir ini sering didominasi video berdurasi pendek, yang lebih sukar dikesan sistem automatik dan jauh lebih mudah menjadi tular.

“Ia pola yang sudah lama wujud, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia dan menjadi semakin canggih setiap kali pilihan raya.”

Selvakumar berkata, Akta Keselamatan Dalam Talian yang bakal berkuat kuasa akan menjadi peralihan besar dalam mengawal selia ruang digital Malaysia, menggantikan undang-undang yang lebih bersifat reaktif serta tertumpu kepada pengguna individu.

“Hanya selepas laporan dibuat barulah pihak berkuasa bertindak. Platform pada asasnya dianggap sebagai perantara neutral. Akta baharu ini menterbalikkan model itu.”

Akta baharu itu mewujudkan rangka kerja berasaskan sistem yang berterusan untuk persekitaran dalam talian lebih selamat.

Kerajaan juga merancang menggubal 10 undang-undang subsidiari serta menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian untuk menyelia penguatkuasaan dan kewajipan industri seperti digariskan dalam akta itu.

Selvakumar berkata, undang-undang itu meletakkan kewajipan penjagaan berkanun ke atas platform, mengkehendaki mereka dilesenkan secara tempatan, memiliki sistem untuk membendung kandungan berbahaya dan diwajibkan bertindak secara proaktif.

“Penaltinya memberi impak dan mesejnya jelas: gergasi teknologi tidak lagi boleh meraih keuntungan daripada penglibatan dipacu ucapan kebencian atau maklumat palsu sambil menafikan tanggungjawab terhadap persekitaran yang mereka cipta.”

Walaupun kebanyakan penyedia perkhidmatan menyokong undang-undang baharu itu, Selvakumar berkata ada membangkitkan isu bidang kuasa, terutamanya firma berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang berpegang kepada tradisi kebebasan bersuara di negara asal mereka dan berkemungkinan menentang keperluan pelesenan tempatan.

“Ia bersifat strategik. Menerima liabiliti ketat di Malaysia boleh menjadi duluan yang diikuti negara lain,” katanya, memaklumkn pendapatan firma teknologi utama mungkin terjejas.

Pakar keselamatan siber itu berkata, dalam suasana politik yang tegang, khabar angin palsu mampu mencetuskan konfrontasi sebenar dalam tempoh satu jam. Platform dalam talian mesti bertindak sebagai pemutus litar yang menghalang naratif dalam talian berkembang menjadi ancaman di dunia nyata, katanya.

Beliau berkata, kumpulan paling terdedah kepada algoritma tidak terkawal ialah warga emas, yang sering menjadi sasaran bahan dijana AI dan golongan muda berisiko terdedah kandungan berbahaya.

“Sistem ini menjana keuntungan daripada penglibatan — dan kemarahan serta ketakutan menghasilkan penglibatan paling tinggi,” katanya.

Menurutnya, ketiadaan peraturan akan menggalakkan pengukuhan konflik manakala undang-undang baharu memaksa platform menyelaraskan motif keuntungan mereka dengan keselamatan dan kestabilan masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.