
Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin, berkata pihaknya akan menguruskan isu itu secara harmoni kerana ia melibatkan sensitiviti agama.
“Kedua-dua pihak sudah dipanggil untuk mencari jalan penyelesaian bersama dasar kerajaan negeri. Isu ini sensitif jadi kita kena berhati-hati,” katanya menurut Sinar Harian.
Katanya, tiada istilah selesai atau tidak berhubung kes itu sebaliknya masih dalam perhatian banyak pihak termasuk polis dan kerajaan negeri.
Jelasnya, ketika ini tiada isu perkauman yang timbul dan semuanya dalam keadaan baik.
“Semua orang boleh hidup dalam aman damai, harmoni, itu yang lebih mustahak,” katanya.
Terdahulu, tular video menunjukkan satu sesi dialog antara pihak JMB sebuah kondominium di Tanjung Tokong dengan penduduk berhubung isu semasa di kediaman tersebut.
Bagaimanapun, suasana berubah tegang apabila pihak JMB mengutarakan isu pembesar suara di surau kondominium berkenaan.
Media melaporkan pihak JMB kondominium berkenaan dipercayai melarang pihak surau berkenaan menggunakan dua pembesar suara bersaiz besar di luar surau untuk kegunaan azan, sebaliknya hanya menggunakan pembesar suara bersaiz kecil dalam surau sahaja.