
Ini susulan mereka diambil bekerja oleh sebuah syarikat yang akan membayar mereka gaji minimum, menurut sumber Kementerian Sumber Manusia.
“Menteri sumber manusia akan memberikan butiran pekerjaan mereka tidak lama lagi,” kata sumber itu kepada FMT.
FMT melaporkan hari ini bahawa pekerja-pekerja asing itu berkumpul di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh dalam cuaca yang panas terik semalam untuk mencari penyelesaian masalah dihadapi mereka,
Jurucakap kumpulan pekerja itu, yang ingin dikenali sebagai Abraham berkata, kumpulan warga asing itu tidak diberikan pekerjaan setelah tiba pada Februari lepas, mahupun dibayar sebarang elaun dalam tempoh empat bulan.
“Mereka (warga Bangladesh) datang ke sini dan tidak diberi penginapan yang sesuai. Malah sesetengah tempat penginapan (yang diberikan) tidak mempunyai (kemudahan) sanitasi. Situasi (dihadapi mereka) sangat buruk.
“Tiada siapa dapat bayangkan persekitaran tempat tinggal mereka, (dengan) tiada pekerjaan, tiada wang, dan tiada makanan untuk melangsungkan hidup,” katanya kepada FMT.
Abraham berkata, sehingga 600 warga Bangladesh masuk ke negara ini melalui empat syarikat berbeza, percaya mereka akan diupah sebagai pengemas penginapan di Genting Highlands.
Semalam, Jabatan Buruh berkata, ia akan mengenakan sekatan terhadap firma-firma terbabit dan menarik balik lesen agensi terlibat dalam pengambilan pekerja asing yang terkandas tanpa pekerjaan sejurus tiba.
Jabatan itu turut berjanji untuk mengambil tindakan terhadap syarikat pengambilan yang didapati menyalahgunakan kuota dan lesen kerajaan untuk mengambil pekerja asing.
Difahamkan beberapa syarikat sudah pun disiasat dan hasil siasatan akan diumumkan tidak lama lagi.