
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, jumlah kompaun antara RM100 hingga RM5,000 ketika ini dilihat ringan oleh pelaku dan kurang berkesan untuk menjadi pengajaran.
“KPKT sudah buat keputusan akan mengkaji meningkatkan jumlah kompaun … sebab saya rasa ia tidak cukup untuk memberi mesej (kepada pelaku),” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis apresiasi kecemerlangan 2022 KPKT.
“Jumlah RM100 hingga RM5,000 dipandang terlalu ringan. Ada orang kata, tak apalah, dia mampu bayar … tetapi kita akan kaji untuk tingkatkan kompaun tersebut termasuk mendakwa (pelaku) di mahkamah pada masa akan datang.
Beliau mengulas dakwaan baru-baru ini bahawa Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff mengambil air dari pili bomba tanpa kebenaran untuk diagihkan kepada penduduk setempat berikutan masalah bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di Parlimen.
Jabatan Bomba semalam mengesahkan telah mengeluarkan kompaun RM100 terhadap individu yang menyalahgunakan pili bomba itu.
Bahagian Pengurusan Korporat Bomba dalam kenyataan berkata, tindakan terbabit diambil Ketua Balai Bomba Rantau Panjang mengikut Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).
Sementara itu, Nga mengesahkan individu yang dikompaun ialah kontraktor yang menerima arahan daripada Ahli Parlimen PAS itu, kerana undang-undang bomba memperuntukkan hanya pelaku sahaja dikompaun.
“Ada yang tanya, kenapa yang dikenakan kompaun adalah kontraktor, bukan Ahli Parlimen yang terlibat,” katanya.
“Akta sekarang, pelaku yang salah saja (dikompaun) … sebab itu kontraktor kena ikut lunas undang-undang. Jangan ikut membuta tuli apabila orang suruh buat (perkara) salah.”