Konon ‘patuh syariah’, RM900 juta wang pelabur didakwa lesap

Konon ‘patuh syariah’, RM900 juta wang pelabur didakwa lesap

Hampir 400 pelabur dijanjikan pulangan antara 15 hingga 18% melibatkan dividen saham khas dan sukuk.

Setiausaha MHO Hishamuddin Hashim berkata kebanyakan mangsa terdiri pesara yang telah mendepositkan wang antara RM50,000 hingga RM250,000. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kira-kira 400 individu terpaksa menanggung kerugian RM900 juta selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan syarikat pelaburan saham yang kononnya patuh syariah.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim berkata, semua individu itu didakwa terpedaya dengan dua sindiket dipercayai beroperasi sejak lima tahun lalu dan satu lagi sekitar 2021.

Katanya, mereka menawarkan lima jenis pelaburan dilakukan termasuk saham khas, sukuk, serta akaun wang amanah dengan menjanjikan keuntungan antara 15 hingga 18%.

“Namun, semuanya lesap sahaja,” katanya menurut Sinar Harian.

Katanya, selain dua sindiket pelaburan tersebut, terdapat hampir 220 buah syarikat mengeluarkan skim deposit wang yang kononnya pelaburan tersebut disahkan menerusi ‘document information memo’ (DIM) oleh SSM.

Menurutnya, terpedaya dengan helah tersebut, ramai pelabur meletakkan jumlah deposit besar melibatkan ratusan ribu ringgit.

“Kebanyakan mangsa terdiri pesara dan mempunyai sejumlah wang yang banyak. Ada pelabur mendepositkan wang antara RM50,000 hingga RM250,000.

“Ia didorong dengan janji manis terhadap pulangan lumayan menerusi keuntungan dividen antara 15 hingga 18%,” katanya.

Hishamuddin berkata, MHO sebelum ini telah bertindak membuat laporan polis berhubung penipuan, namun perkara itu diklasifikasikan sebagai rujuk kepada agensi lain (ROA) kerana tiada unsur jenayah.

Berikutan itu, katanya, pihaknya membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC), namun sekali lagi menemui kegagalan kerana skim itu bukan dalam senarai Bursa Saham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.