
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Hulu Terengganu mencatatkan 266 mangsa daripada 86 keluarga yang berlindung di empat PPS sejak Ahad melibatkan Bangunan PPS Kampung Lubok Periok, Masjid Kampung Peneh, Balairaya Kampung Kemat dan Balairaya Kampung Pelandan.
Di Kemaman pula sebanyak 204 mangsa daripada 56 keluarga berlindung di enam PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih, Dewan Sivik Air Putih, Dewan Orang Ramai Kampung Seberang Tayur Hulu, Dewan Ketengah Dandong, Dewan Orang Ramai Batu 14 dan Masjid Kampung Batu 16 Tebak, lapor Bernama.
Berdasarkan laman web publicinfobanjir.water.gov.my paras air di stesen Sungai Besut di Jambatan Keruak di Besut melepasi paras bahaya manakala Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman di Kemaman serta Sungai Tersat di Kampung Sekayu (F2) di Hulu Terengganu melepasi paras amaran.
Keadaan di Sarawak pula semakin pulih apabila hanya dua mangsa daripada satu keluarga masih ditempatkan di PPS SK Suai, Nia.
Jumlah itu menurun daripada 11 orang melibatkan lima keluarga yang ditempatkan di PPS terbabit petang semalam.