Cuaca panas: Kerajaan sedia isytihar darurat, kata TPM

Cuaca panas: Kerajaan sedia isytihar darurat, kata TPM

Setakat ini, pelaksanaan darurat belum diputuskan dan kerajaan sedang memantau cuaca 24 jam, kata Zahid Hamidi.

Cuaca panas yang melanda negara dijangka berlarutan sehingga Ogos. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kerajaan bersedia melaksanakan darurat berikutan cuaca panas dialami negara pada masa ini, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini pelaksanaan darurat belum diputuskan.

“Belum lagi (laksana darurat), tetapi kita sudah sedia,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

“Kita sedang pantau (cuaca) 24 jam. Kalau darurat (dilaksanakan), kita akan buat pengumuman.”

Pada 10 Mei, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) bagi empat kawasan di Semenanjung, iaitu Baling di Kedah, serta Hulu Perak, Kinta dan Manjung di Perak.

Amaran itu turut merangkumi Mukah di Sarawak, menurut kemas kini data cuaca panas dimuat naik di Facebook MetMalaysia.

Amaran cuaca panas tahap satu dikeluarkan apabila suhu maksimum harian mencapai 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Sementara itu, Zahid berkata, kerajaan juga sedia menjalankan pembenihan awan jika hujan tidak turun.

“Petang ini, saya pergi buat tinjauan. Kalau tidak ada hujan, kita buat serta merta,” katanya.

“(Pembenihan awan) akan dilakukan dengan kerjasama tentera dan MetMalaysia di beberapa kawasan empangan air.”

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka berlarutan sehingga Ogos, dan negeri-negeri yang paling terkesan adalah di utara dan pantai timur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.