
Majlis kerja tertinggi Umno yang bermesyuarat hari ini memutuskan pemilihan parti akan diadakan pada satu tarikh tidak melebihi enam bulan selepas PRU16.
“Ini bagi memastikan seluruh jentera parti di semua peringkat dipersiapkan untuk menghadapi kemungkinan PRN dan PRU16 yang boleh diadakan pada bila-bila masa bermula tahun ini,” kata Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan.
Langkah ini dipersetujui sebulat suara, selaras perlembagaan Umno bawah fasal 10.16, 10.16.1 dan 10.16.2, katanya.
Presiden Zahid Hamidi pada Januari memaklumkan pemilihan parti akan ditangguhkan untuk memperkukuh parti.
Sementara itu, Asyraf turut mengumumkan perhimpunan agung Umno 2026 akan bersidang pada 12-16 Ogos, selepas mesyuarat perwakilan Umno bahagian (1 Jun-12 Jul) dan persidangan Umno cawangan (1 Apr-17 Mei).
Dalam pada itu, bersempena ulang tahun Umno ke-80 tahun ini, parti itu akan menganjurkan Kongres Pendidikan Bumiputera pada 1 Mei, dan konvensyen Umno pada 2 Mei.