
Hakim Nurulhuda Nuraini Nor berkata rayuan Majlis Peguam yang mencabar keputusan peguam negara menghentikan kes itu akan menjadi akademik sekiranya beliau membuat keputusan terlebih dahulu.
“Kita akan menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan yang saya difahamkan akan didengar pada 8 April,” katanya.
Zahid yang juga timbalan perdana menteri hadir pada prosiding itu.
Nurulhuda berkata beliau mengambil maklum hujah peguam Zahid, Hisyam Teh Poh Teik, berhubung kuasa luas diberikan kepada peguam negara selaku pendakwa raya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.
Beliau turut menyatakan Mahkamah Persekutuan sebelum ini memutuskan bahawa kuasa perlembagaan peguam negara bukanlah mutlak dan boleh tertakluk kepada semakan kehakiman dalam keadaan sesuai.
“Budi bicara tidak terhad peguam negara masih merupakan isu yang hidup,” katanya, sambil menambah beliau tidak mahu mendahului kuasa Mahkamah Rayuan untuk memutuskan perkara itu memandangkan ia melibatkan kepentingan awam.
Mahkamah menetapkan 24 April untuk pendengaran.
Terdahulu, Nurulhuda membenarkan wakil Majlis Peguam, S Abhilaash, mengemukakan hujahan sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah) walaupun Hisyam membantah atas alasan badan berkanun itu tiada locus standi dalam kes berkenaan.
“Untuk membenarkan Majlis Peguam berhujah akan menghakis peranan dan kuasa peguam negara,” katanya.
Zahid failkan permohonan untuk menukar perintah dilepas tanpa bebas (DNAA) yang diperolehnya kepada dibebaskan bulan lalu selepas peguam negara mengumumkan kes itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) kerana kekurangan bukti untuk meneruskan perbicaraan.
Hisyam berhujah bahawa mahkamah perlu membebaskan anak guamnya berdasarkan pendirian yang diambil peguam negara.
“Pertuduhan terhadap anak guam saya telah tergantung selama tiga tahun. Pendirian Majlis Peguam adalah pertimbangan yang tidak relevan,” katanya.
Bagaimanapun, Abhilaash berkata peguam mewakili Majlis Peguam sebelum ini dibenarkan berhujah dalam prosiding jenayah.
Beliau berkata menjadi tanggungjawab Majlis Peguam di bawah Seksyen 42 Akta Profesion Undang-Undang 1976 untuk menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih serta melindungi kepentingan awam.
“Kami hanya mahu memaklumkan mahkamah mengenai apa yang akan berlaku di Mahkamah Rayuan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Badius Zaman Ahmad berkata pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Zahid dan memfailkan afidavit bagi menyatakan pendiriannya.
Pada 27 Jun 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Majlis Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan peguam negara menghentikan kes terhadap Zahid.
Hakim Amarjeet Singh memutuskan peguam negara tidak mempunyai kewajipan untuk menyerahkan dokumen siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kepada Majlis Peguam.
Pada 4 Sept 2023, Mahkamah Tinggi memberikan Zahid DNAA terhadap 47 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan jenayah pecah amanah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan SPRM.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan itu walaupun sebelum ini beliau memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Zahid bagi semua pertuduhan.