1 Julai hari terakhir DUN N9, kata Aminuddin

1 Julai hari terakhir DUN N9, kata Aminuddin

Menteri besar Negeri Sembilan itu berkata perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Menteri besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata pembubaran DUN itu bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dijangka akan dibubarkan pada hujung Jun bagi memberi laluan kepada PRN, kata Menteri Besar Aminuddin Harun.

“Kami sudah membuat keputusan (bubar DUN) tidak sama hari dan tarikh (dengan negeri lain) tetapi dalam bulan yang sama. Ada yang mungkin awal bulan mahupun penghujung bulan Jun, ada juga awal bulan Julai.

“Pemikiran yang dibincangkan pada ketika itu, kami (Negeri Sembilan) akan ambil hujung bulan Jun. Insya-Allah, 1 Julai adalah hari terakhir,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Tambahnya, perkara itu turut dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Semalam, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengumumkan DUN negeri itu akan terbubar secara automatik pada 25 Jun.

Menurutnya, beliau akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada minggu ketiga Jun bagi memohon perkenan pembubaran DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.