Subsidi gula wajar dihentikan, kata bekas menteri

Subsidi gula wajar dihentikan, kata bekas menteri

Shahrir Samad berkata, harga rendah menyebabkan gula pasir diseludup ke negara jiran yang menjualnya pada harga lebih tinggi.

Shahrir Samad berkata, kerajaan tidak patut memberi subsidi untuk gula pasir kerana Malaysia bukan pengeluar gula mentah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bekas menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna menyarankan kerajaan menghentikan subsidi pukal bagi gula pasir memandangkan Malaysia bukan pengeluar gula mentah seperti negara jiran.

Shahrir Samad berkata, harga rendah gula pasir, iaitu RM2.85 sekilogram menyebabkan bahan asas yang disubsidi kerajaan itu diseludup ke negara jiran.

“Kerana perbezaan ketara harga runcit antara negara kita dengan negara jiran, gula pasir kita diseludup keluar.

“Subsidi dari kerajaan kita dinikmati penduduk negara jiran,” katanya di Facebook.

Harga runcit gula pasir di Malaysia terendah, iaitu RM2.85 sekilogram, berbanding negara Asean lain – Vietnam (RM6.20), Filipina (RM8.53), Kemboja (RM5.37), Myanmar (RM6.41), Indonesia (RM4.30), Singapura (RM6.32), Laos (RM4.13), Brunei (RM6.32), dan Thailand (RM3.20).

Untuk rekod, Thailand, Filipina dan Indonesia adalah pengeluar gula dunia.

“Sepatutnya gula pasir tidak disubsidikan. Negara kita bukan pengeluar gula mentah. Yang ironinya, negara pengeluar seperti Thailand pun harga runcit gula pasir lagi tinggi daripada negara kita,” kata Shahrir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.