Kerajaan lulus penerbangan khas tarik pelancong ke Malaysia

Kerajaan lulus penerbangan khas tarik pelancong ke Malaysia

Keputusan itu selaras dasar kerajaan memudah cara menjalankan perniagaan khususnya dalam sektor pelancongan.

Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya selepas melihat lonjakan kedatangan pelancong dalam tempoh enam bulan ini.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kelulusan segera penerbangan sewa khas untuk meningkatkan pelancongan antarabangsa ke dalam negara.

Beliau berkata, keputusan itu selaras dasar kerajaan untuk memudah cara menjalankan perniagaan khususnya dalam sektor pelancongan.

Anwar berkata, pihaknya juga mengadakan perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai kelulusan visa.

“Soal visa saya sudah bincang dengan Menteri Dalam Negeri (Saifuddin Nasution Ismail) dan KDN kata peringkat awal yang kita boleh mulakan segera yang ‘chartered flight’.

“Yang lain kita tengok perkembangan dalam memudahkan cara perniagaan. Apakah tindakan yang boleh menyenangkan dan menarik minat pelancong ke Malaysia,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Dalam pada itu, Anwar mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya selepas melihat lonjakan kedatangan pelancong dalam tempoh enam bulan ini.

“Dalam tempoh enam bulan, kita nampak satu lonjakan kehadiran pelancong,” katanya.

Sebelum itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, berkata sehingga Mac seramai 4.38 juta pelancong antarabangsa memasuki negara ini.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 178,150 pelancong dari China iaitu 45,317 orang pada Januari.

Beliau berkata, manakala 49,782 dan 83,051 pelancong dari China direkodkan pada Februari dan Mac tahun ini.

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk promosi Malaysia di dunia terutama China yang membantu dalam sektor pelancongan dan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.