Kerajaan akan perhalusi subsidi bersasar bagi diesel, kata Anwar

Kerajaan akan perhalusi subsidi bersasar bagi diesel, kata Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata langkah itu akan memberi manfaat kepada sembilan jenis kenderaan dalam sektor pengangkutan barangan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (EAC). Di sebelah kanan ialah menteri ekonomi Rafizi Ramli.
PUTRAJAYA:
Majlis Tindakan Ekonomi Negara (EAC) telah bersetuju untuk memperhalusi subsidi bersasar bagi diesel, yang akan memanfaatkan sembilan jenis kenderaan dalam sektor pengangkutan barangan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata subsidi akan disalurkan melalui sistem “fleet card”.

“Ini akan memastikan sektor logistik dapat menguruskan pengangkutan barangan melalui sistem subsidi dan membantu usaha kerajaan membendung inflasi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis itu di sini.

Jenis-jenis kenderaan termasuk lori kargo am, lori penghantaran minuman, lori sejuk beku, lori kotak, lori tugas berat dan lori tangki.

Anwar berkata sistem itu juga akan membantu Putrajaya memantau penggunaan diesel dan mencegah ketirisan atau penyalahgunaan subsidi yang disasarkan.

Beliau berkata semakan menunjukkan penggunaan diesel meningkat 37.7% daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 8.4 bilion liter pada 2022.

“Pada masa sama, jumlah kenderaan berdaftar menggunakan diesel meningkat sebanyak 2.4%,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan mendadak penggunaan diesel berbanding jumlah kenderaan menggunakan diesel membayangkan ada pihak tertentu terlibat dalam aktiviti penyeludupan.

Sementara itu, Anwar berkata isi rumah yang menggunakan elektrik pada jumlah “berlebihan” tidak lagi akan menikmati subsidi elektrik, sambil menambah bahawa mereka tidak lama lagi perlu membayar mengikut kadar pasaran.

“Contohnya, rumah itu guna tiga kipas dan empat penyaman udara, maka mereka harus membayar kos sebenar dan tidak menikmati subsidi.”

Bagaimanapun, beliau berkata isi rumah B40 dan M40 tidak akan terjejas.

Anwar berkata majlis itu juga bersetuju untuk menyediakan pangkalan data bagi memantau dan memastikan mereka yang memerlukan mendapat subsidi bersasar.

“Pangkalan data itu akan mengumpulkan sebanyak mungkin maklumat daripada setiap isi rumah bagi membantu kerajaan menyediakan subsidi dan bantuan yang disasarkan dengan lebih berkesan,” katanya.

Pangkalan data akan beroperasi pada Januari depan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.