Bubar DUN: MB Selangor menghadap sultan minggu ketiga Jun

Bubar DUN: MB Selangor menghadap sultan minggu ketiga Jun

DUN Selangor akan terbubar secara automatik pada 25 Jun ini.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari akan menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah memohon perkenan pembubaran DUN.
SHAH ALAM:
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari akan menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah minggu ketiga Jun bagi memohon perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

DUN Selangor akan terbubar secara automatik pada 25 Jun ini.

“Sebelum tarikh itu saya akan menyampaikan hasrat bila tarikh untuk kita bubar… (akan menghadap sultan) minggu ketiga atau minggu keempat Jun.

“Mungkin juga boleh jadi minggu kedua (Jun),” katanya selepas menghadiri Majlis Ehsan Raya Aidilfitri PKPS.

Sultan Sharafuddin dijadualkan berangkat menunaikan haji bulan depan.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan BN, Amirudin yang juga pengerusi PH Selangor berkata terdapat lima ke tujuh kerusi sedang dimuktamadkan antara rakan sekutu.

“Setakat ini, perbincangan PH dan BN di peringkat negeri dah berjalan dan kita dah hantar laporan ke peringkat pusat dan peringkat pusat juga akan memulakan perbincangan (pembahagian kerusi) itu sekali.

“Formulanya sudah pasti kemenangan,” katanya yang yakin pembahagian kerusi antara PH dan BN itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Semua parti menyatakan kawasan mana mereka mahu dan di mana kawasan kita nak kekalkan. Masa dah cukup dan sekarang sampai di peringkat pusat (tentukan).”

Menyentuh laporan Perikatan Nasional (PN) akan meletakkan calon “heavyweight” untuk menumbangkan PH Selangor, Amirudin menyifatkan gabungan itu sebagai “celaru”.

“Dia (PN) sebelum ini cakap calon menteri besar Selangor adalah orang Selangor tapi dia terpaksa import dari luar. Itulah kata celaru,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.