BN-PH: Akar umbi berbelah bahagi seperti ketika Umno-PAS dulu, kata ketua Pemuda

BN-PH: Akar umbi berbelah bahagi seperti ketika Umno-PAS dulu, kata ketua Pemuda

Imran Tamrin berkata ada kalangan akar umbi yang menyokong atau tidak bersetuju dengan gandingan BN-PH, seperti ketika Umno bersama PAS dahulu.

Imran Tamrin berkata, walaupun berbelah bahagi atau tidak bersetuju dengan gandingan BN-PH, namun mereka mengetepikan perasaan masing-masing demi menjayakan Malaysia Madani.
SHAH ALAM:
Seorang pemimpin Umno Selangor akui akar umbi partinya masih berbelah bahagi tentang kerjasama Barisan Nasional-Pakatan Harapan, yang kini bersama dalam kerajaan perpaduan selepas berseteru sekian lama.

Ketua Pemuda Imran Tamrin akui ada kalangan akar umbi yang menyokong, berbelah bahagi, atau tidak bersetuju dengan gandingan BN-PH, namun tanggungjawab menuntut mereka ketepikan perasaan masing-masing.

“Kalau PH salah, bukan semuanya salah dan boleh dijadikan pengajaran. Perlu jayakan aspirasi besar, iaitu ingin jayakan Malaysia Madani,” katanya kepada FMT baru-baru ini ketika ditanya sentimen dalam kalangan akar umbi terhadap kerjasama BN-PH.

BN menyahut seruan membentuk kerajaan perpaduan bersama PH, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, dan Warisan atas saranan Istana Negara, selepas tiada parti mencapai majoriti kerusi mutlak pada PRU15.

Imran berkata, gabungan itu sedang mencari titik persamaan di sebalik perbezaan mereka bagi menjayakan kerajaan perpaduan.

“Betul ada beberapa kritikan dan juga perbezaan pandangan, tetapi ia ditangani dan diurus dengan baik,” katanya.

Imran menyeru ahli Umno mendahulukan kemahuan rakyat, di sebalik persepsi dan sentimen masing-masing.

“Anak muda, khususnya pengundi baharu ingin melihat Pemuda Umno bawa naratif politik matang dan progresif,” katanya, tentang cabaran meyakinkan akar umbi terhadap gandingan BN-PH.

Imran bagaimanapun mendedahkan Umno berdepan situasi sama sebelum ini, apabila ia perlu meyakinkan akar umbi BN tentang kerjasama dengan PAS selepas PRU14.

“Tidak semua setuju dan tidak semua suka. Jadi perkara sama,” dedahnya.

Umno pernah menjalin kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional, namun berselisih selepas PAS berganding dengan Bersatu.

Mengenai PRN Selangor akan datang, Imran berkata, PH dan BH sedar mereka perlu bertolak-ansur mengenai pengagihan kerusi. Pokoknya, kerusi di Selangor tidak boleh didominasi satu gabungan saja.

“Kena ada kesefahaman dan ‘give and take’. Kita lihat matlamat lebih besar, iaitu untuk teruskan agenda rakyat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.