
Ketua DAP Johor Liew Chin Tong, berkata ia merupakan petanda baik bagi semua parti komponen dalam kerajaan perpaduan untuk memenangi PRU16.
Pada PRN Johor pada Mac 2022, berlaku pertandingan tiga penjuru di Mahkota, dengan BN mendapat 16,611 undi, PH, 11,445 undi, manakala Perikatan Nasional, 7,614 undi di kerusi DUN itu.
“Syed Hussien (Syed Abdullah) memperolehi 27,995 undi, iaitu 79% daripada jumlah undi. Majoriti yang diperolehi Syed Hussien adalah 20,648 undi.
“Apabila kita gabungkan undi yang diperolehi kedua-dua BN dan PH pada PRN Johor, jumlahnya adalah 28,056 undi, hampir sama dengan keputusan PRK semalam,” katanya dalam catatan Facebook.
Beliau juga berkata pemindahan undi PH kepada BN berlaku melalui kempen dan pujukan bersungguh-sungguh di Mahkota.
“Kerajaan perpaduan perlu memenangi pilihan raya akan datang melalui kerjasama PH-BN untuk kestabilan dan kesinambungan pentadbiran demi kesejahteraan negara,” katanya.
Dengan kemenangan itu, BN berjaya mempertahankan kerusi Mahkota dengan majoriti lebih besar, empat kali ganda berbanding dicatatkan parti di kerusi sama pada Pilihan raya Negeri 2022.
PRK Mahkota dalam Parlimen Kluang diadakan susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming, tidak puas hati dengan jumlah pengundi bukan Melayu yang tidak keluar memilih pada PRK Mahkota.
“Di sebalik kemenangan, ada juga kelemahan. Pengundi bukan Melayu keluar yang rendah dan ini jarang berlaku pada waktu lepas,” katanya menurut Utusan Malaysia di Ipoh.
Katanya, semua pucuk pimpinan kerajaan perpaduan harus mencari jalan bagaimana hendak menyakinkan semula pengundi bukan Melayu keluar beramai-ramai memberi sokongan kepada calon kerajaan.
Semalam, peratusan keluar mengundi pada PRK Mahkota ialah 53.84%, berbanding berbanding 57.34% pada PRN lalu.