
Beliau berkata demikian susulan “serangan” terkini Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai aset yang didakwa dimiliki oleh keluarga bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.
Dalam kenyataan di Twitter, Mahathir sekali lagi mencabar Anwar membuktikan dakwaan terkini beliau.
“Setakat cakap atas pentas politik tanpa ada bukti, siapa pun boleh buat. Mereka ini digelar ‘mat retorik’,” katanya.
Pada Sabtu, Anwar berkata semua orang tahu bahawa keluarga Mahathir memiliki “kapal terbang, kapal layar dan syarikat bernilai berbilion ringgit”.
Bekas perdana menteri itu sebelum ini memfailkan saman fitnah RM150 juta terhadap Anwar atas dakwaan tersebut.
Mahathir mendakwa, kenyataan-kenyataan itu dibuat Anwar atas kapasitinya sebagai perdana menteri dan, oleh itu, mempunyai kesan yang lebih merosakkan ke atas dirinya berbanding dengan kenyataan serupa yang dibuat oleh rakyat biasa.
Sementara itu, Mahathir berkata beliau tidak ada masalah untuk mengisytiharkan kekayaan dan hartanya kerana beliau tiada apa yang hendak disorokkan.
Mahathir, yang pernah menjadi perdana menteri dua kali, berkata beliau mengisytiharkan harta beberapa kali ketika berkuasa dan perkara itu adalah “pengetahuan umum”.
“Yang menjadi masalah ialah Anwar beberapa kali tuduh saya salah guna kedudukan sebagai perdana menteri untuk memperkayakan diri dan keluarga saya,” katanya.