
Katanya, bagaimanapun ia memerlukan nasihat teknikal daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Mada.
Beliau berkata, pelepasan air itu bagaimanapun memerlukan kerjasama Pulau Pinang untuk menutup baraj bagi memastikan air empangan dilepaskan tidak mengalir ke laut.
“Ada kaedah untuk selesaikan (air surut Sungai Muda) iaitu pelepasan air daripada takungan kitalah di empangan Beris dan Muda. Pelepasan itu kena nasihat teknikal Mada dan JPS. Kalau ada keperluan kita akan mohon untuk dilepaskan.
“Cuma masalah kita (berkaitan) baraj di sebelah Pulau Pinang. Baraj tidak ditutup. Bila baraj itu tak tutup, apabila kita lepas, air yang disalur akan ke laut. Saya harap perkara ini dapat diselesaikan segera,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau mengulas laporan sekitar 251,800 akaun daerah Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling terjejas akibat penurunan paras air Sungai Muda secara mendadak.
Hari ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata paras air di Sungai Muda direkodkan bawah paras 1m pada 5 pagi tadi di muka sauk Lahar Tiang.
PBAPP tidak mengetahui punca sebenar yang mengakibatkan paras air turun mendadak.
“Untuk mengatasi keadaan ini, PBAPP akan menyalurkan air dari Empangan Mengkuang untuk digunakan di Loji Rawatan Air Sungai Dua,” katanya dalam kenyataan.