
Beliau yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, berkata cadangan itu adalah cara mengiktiraf pekerjaan tidak berbayar sebagai pekerjaan, antara lain bertujuan memperkasa ekonomi wanita.
“Ramai yang bekerja di rumah itu tidak dibayar, mereka menjaga keluarga tapi ada juga suami yang menjadi pengurus di rumah dan juga ibu bapa mengurus di rumah, (mereka) tak ada gaji.
“Kalau dapat kita iktirafkan pekerjaan tidak berbayar (ini) dan mintalah anak atau suami, kita minta izin supaya mereka boleh potong gaji,” katanya.
Selain itu, beliau berkata peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan gaji bertepatan untuk golongan wanita perlu diwujudkan termasuk pelaksanaan dasar 30% penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan.
“Marilah kita bersama-sama menjadikan dasar 30% wanita ini dijadikan satu kenyataan, pastikan ia terlaksana.
“Jangan cakap sahaja, 30% wanita dalam pembuat keputusan…memang ia dasar yang lama tetapi keberkesanannya perlu kita pertingkatkan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemimpin dan parti mendukung kerajaan perpaduan menjalankan tugas dengan baik, turun padang untuk melihat keperluan setiap negeri sekali gus memahami denyut nadi rakyat.
Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan buat julung kali membuka tirainya dengan Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Kerajaan Perpaduan, yang diadakan secara serentak pagi ini.
Kemuncak konvensyen yang bertemakan “Madani: Mengangkat Agenda Rakyat” ialah amanat yang akan disampaikan Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan iaitu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebelum diakhiri dengan pelancaran Tekad Bersama.