Agenda pemerkasaan wanita antara intipati dalam Tekad Wanita Perpaduan

Agenda pemerkasaan wanita antara intipati dalam Tekad Wanita Perpaduan

Dokumen itu turut mengandungi tekad dalam memastikan wanita mendapat pembelaan dan perlindungan dari aspek kebajikan, pendidikan, keselamatan, sosial dan hak asasi manusia.

Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dihadiri kira-kira 3,400 peserta daripada pelbagai parti itu merupakan sebahagian daripada agenda Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.
KUALA LUMPUR:
Agenda pemerkasaan wanita dan penglibatan sekurang-kurangnya 30% golongan itu dalam kumpulan membuat keputusan di setiap peringkat merupakan antara yang terkandung dalam Tekad Wanita Perpaduan yang dimeterai sempena Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan hari ini.

Dokumen tekad berkenaan ditandatangani lima pimpinan utama wanita, mewakili pimpinan wanita dalam parti gabungan kerajaan perpaduan, sebagai simbolik komitmen bersama-sama membawa dan menyokong tema Madani: Mengangkat Agenda Rakyat.

Ia ditandatangani Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) Noraini Ahmad, Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Aiman Athirah Sabu, Ketua Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) Fatimah Abdullah, wakil Wanita Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Flovia Ng dan Pemangku Ketua Wanita Parti Warisan Norfaizah Chua.

Dokumen berkenaan turut mengandungi tekad dalam memastikan wanita mendapat pembelaan dan perlindungan dari aspek kebajikan, pendidikan, keselamatan, sosial dan hak asasi manusia.

Selain itu, ia turut mengandungi tekad mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan menjadi peneraju utama dalam pembangunan komuniti masyarakat Madani.

Majlis menandatangani dokumen tekad berkenaan disaksikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia.

Terdahulu bacaan ikrar tekad itu diketuai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Nancy Shukri.

Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan yang dihadiri kira-kira 3,400 peserta daripada pelbagai parti itu merupakan sebahagian daripada agenda Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan sehari yang berlangsung hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.