
Ketua Polis Langkawi Shariman Ashari berkata, perkara itu dinyatakan kanak-kanak berkenaan yang mendakwa tahu cara membawa kereta dengan melayari YouTube dan mengamati cara pemanduan bapanya.
Shariman berkata, siasatan turut mendapati tiada simulator digunakan untuk berlatih memandu di rumah kanak-kanak itu.
“Mengenai video tular mendakwa kanak-kanak tersebut berlatih menggunakan simulator di rumah, siasatan pihak polis mendapati tidak ada simulator di rumahnya.
“Gambar tular tersebut bukan gambar kanak-kanak yang memandu kereta Vios sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya dalam kenyataan lapor Sinar Harian.
Shariman berkata, setakat ini pihak polis telah merakam keterangan daripada ibu dan bapa kanak-kanak tersebut.
Katanya, selain itu lima individu lain yang merupakan saksi kejadian juga telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
“Mereka terdiri daripada tiga saksi di tempat kejadian, datuk kanak-kanak itu dan seorang lagi anggota polis yang tiba di tempat kejadian,” katanya.
Shariman berkata, kanak-kanak tersebut juga akan dirujuk kepada Pusat Temuduga Kanak-Kanak di IPK Kedah untuk mendapatkan keterangan menyeluruh.
Katanya, kertas siasatan hampir siap dan akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri di Alor Setar sebaik pihak polis menerima laporan perubatan daripada hospital.
Sebelum ini media melaporkan, dua beradik ditemukan orang awam di dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios selepas terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi pada jam 11.15 malam Selasa.
Dalam kejadian itu, kanak-kanak berusia enam tahun mengalami kecederaan luka di bahagian dagu manakala adiknya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kemudiannya, kejadian itu dikaitkan dengan unsur mistik sebelum dinafikan pihak polis yang mengesahkan kanak-kanak itu tahu cara mengendalikan kereta.
Selepas itu, tular pula video mengaitkan seorang kanak-kanak lelaki bermain simulator kereta lumba adalah kanak-kanak sama memandu kereta di Langkawi sebelum dinafikan sendiri ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit.