Amang seksual dengan anak sendiri, ibu didakwa bulan ini

Amang seksual dengan anak sendiri, ibu didakwa bulan ini

Polis berkata suspek berusia 33 tahun itu akan didakwa dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Wanita itu sebelum ini ditahan kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap anak lelakinya berusia 14 tahun. (Gambar freepik)
KUALA SELANGOR:
Wanita yang ditahan susulan dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap anak lelaki berusia 14 tahun akan didakwa bulan ini.

Ketua Polis Kuala Selangor Ramli Kasa, berkata siasatan terhadap suspek berusia 33 tahun itu telah lengkap dan pihaknya mendapat arahan untuk menuduh wanita berkenaan.

“Kita akan mengambil tindakan pendakwaan dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 selepas tamat reman suspek di IPD Sungai Buloh,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor dan Dewan Undangan Bukit Melawati.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita direman lima hari bermula 3 Mei bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya berusia 14 tahun.

Wanita itu ditahan di kediamannya di Puncak Alam, Kuala Selangor, pada 2 Mei selepas polis menerima laporan daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mendapat maklumat mengenai perbuatan itu menerusi sebuah video yang diperoleh daripada individu tidak dikenali.

Reman wanita tersebut disambung selama tiga hari hingga 10 Mei sebelum suspek diserahkan ke IPD Sungai Buloh untuk siasatan kes yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.