Rayuan saman fitnah Sultanah Terengganu didengar 22 Sept

Rayuan saman fitnah Sultanah Terengganu didengar 22 Sept

Sultanah Nur Zahirah menganggap kenyataan dalam buku Clare Rewcastle Brown adalah fitnah kerana membayangkan baginda terlibat rasuah.

Sultanah Nur Zahirah Terengganu memfailkan rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak saman fitnahnya terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menetapkan 22 Sept untuk mendengar rayuan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berhubung saman fitnahnya terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown dan dua lain yang ditolak Mahkamah Tinggi tahun lalu.

Peguam Haikaldin Mahyidin, yang mewakili Rewcastle Brown, berkata tarikh itu dimuktamadkan selepas pengurusan kes dalam talian, di hadapan Timbalan Pendaftar Zuhrina Nor.

“Pihak berkenaan hendaklah memfailkan hujahan bertulis mereka selewat-lewatnya pada 23 Ogos, serta jawapan selewat-lewatnya pada 7 Sept,” katanya kepada FMT.

Peguam S Manisha mewakili Sultanah Nur Zahirah.

Pada 31 Okt tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Johan Abdullah memutuskan kenyataan dalam buku Rewcastle Brown, “The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose”, tidak memfitnah.

Kenyataan yang disangkal itu berbunyi: “(Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low) juga baik dengan pemain utama di Terengganu, isteri Sultan, yang persetujuannya diperlukan untuk menubuhkan dana itu dan baginda kemudiannya mengatakan sokongannya penting untuknya mendapat jawatan penasihat.”

“Saya tidak melihat sebarang tuduhan fitnah daripada kenyataan itu, walaupun jelas terdapat masalah kesilapan identiti. Justeru, kes plaintif dengan ini ditolak,” katanya.

Penerbit Chong Ton Sin dan syarikat percetakan Vinlin Press Sdn Bhd adalah defendan lain dinamakan dalam saman itu.

Sultanah telah memulakan saman fitnah RM100 juta pada 2018, dengan mendakwa Rewcastle Brown telah membuat kenyataan menghinanya dalam buku itu.

Sultanah mendakwa kenyataan itu mencadangkan baginda terlibat dalam amalan rasuah dan telah campur tangan dalam pentadbiran negeri, selain menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA), yag kini dikenali sebagai 1MDB.

Baginda juga mendakwa kenyataan itu boleh ditafsirkan sebagai bermaksud baginda telah membantu Low mendapatkan kedudukannya sebagai penasihat TIA.

Dalam pembelaannya, Rewcastle Brown mendakwa dia telah membuat “kesilapan tidak disengajakan” apabila mengenal pasti “pemain utama” dalam kenyataan yang dipertikaikan sebagai “isteri Sultan”. Dia mendakwa dia sepatutnya merujuk kepada saudara perempuan Sultan.

Di sebalik kesilapan fakta, hakim berkata, kenyataan Rewcastle Brown bahawa Sultanah memperkenan atau bersetuju dengan penubuhan dana kekayaan negara tidak merendahkan reputasinya dalam apa cara sekalipun.

Beliau berkata, seseorang itu tidak akan dihina hanya kerana dia menyokong seseorang untuk sesuatu pekerjaan, terutamanya memandangkan sokongan itu, termasuk melalui surat, adalah sebahagian daripada budaya Malaysia.

Johan berkata, Low sendiri yang mendakwa beliau mendapat sokongan Sultanah untuk jawatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.