
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim khuatir agenda Pakatan Harapan dalam reformasi politik dan kerajaan akan lenyap jika Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak bertindak mengekang pelantikan politik selanjutnya.
Hassan berkata, beliau tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa pelantikan ini perlu dibuat bagi memastikan kestabilan.
“Dahulu kita (PH) janji pada rakyat bagaimana? Nanti bila amalan ‘ghanimah’ politik ini sudah jadi asal bisa tegal biasa, sudah tidak ada beza prinsip kerajaan sekarang ini dengan kerajaan zaman pimpinan Najib, Muhyiddin.
“Dari dahulu lagi saya suarakan kesedihan mengenai perkara ini dan bimbang rakyat akan semakin hilang keyakinan terhadap PH dan kerajaan perpaduan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Hassan juga mempersoalkan mengapa menteri tidak mengutamakan pakar dan teknokrat untuk dilantik ke jawatan tertinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), berbanding ahli politik.
Kerajaan pimpinan Anwar mengumumkan beberapa pelantikan politik melibatkan parti-parti dalam kerajaan sejak ia berkuasa.
Dalam tempoh beberapa minggu lepas sahaja, beberapa pelantikan politik diumumkan, termasuk membabitkan pemimpin Amanah ke dalam badan berkanun bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diterajui Mohamad Sabu.
Mohamad, yang juga presiden Amanah, mempertahankan keputusan itu dengan berkata, pelantikan tersebut tidak bermotifkan politik tetapi mengambil kira reputasi dan penglibatan individu tersebut dalam masyarakat.
Semalam, Naib Ketua Wanita Umno Norliza Abdul Rahim dilantik sebagai pengerusi baharu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Jumaat lepas, Ahli Parlimen Julau Larry Sng dilantik sebagai pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia.