Kontrak MyEG untuk perkhidmatan imigresen dilanjut

Kontrak MyEG untuk perkhidmatan imigresen dilanjut

Sumber berkata, Putrajaya bersetuju melanjutkan kontrak itu sementara menunggu Sistem Imigresen Bersepadu Nasional disiapkan.

Pada Julai 2020, MyEG Services Bhd diberikan lanjutan kontrak tiga tahun untuk menyediakan perkhidmatan berkaitan imigresen yang bernilai RM208 juta. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersetuju melanjutkan kontrak MyEG Services Bhd bagi memudahkan permohonan pas lawatan kerja sementara (PLKS) untuk pekerja asing, menurut sumber.

Katanya, lanjutan itu bagi memastikan perkhidmatan kerajaan tidak terjejas akibat kelewatan menyiapkan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

“Kontrak MyEG sepatutnya tamat pada 22 Mei, tetapi kementerian itu memutuskan untuk melanjutkan kontrak berkenaan sehingga sistem NIISe disiapkan,” kata sumber.

Februari lalu, Ketua Pengarah Imigresen ketika itu, Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata, semua perkhidmatan imigresen akan dikendalikan jabatan itu melalui NIISe.

Ia termasuk perkhidmatan dikendalikan pihak ketiga seperti MyEG, di mana kontrak untuk menyediakan perkhidmatan berkaitan imigresen yang bernilai RM208 juta dilanjutkan tiga tahun pada Julai 2020.

Sebelum ini, kerajaan memperuntukkan RM900 juta kepada KDN untuk melaksanakan NIISe.

Mac lalu, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, Putrajaya belum memutuskan sama ada akan membatalkan projek NIISe yang diberikan kepada Iris Information Technology Systems Sdn Bhd.

Katanya, projek itu tidak mencapai tahap kemajuan dikehendaki di bawah syarikat itu.

Minggu lalu, Putrajaya bersetuju memberikan MyEG lanjutan “tidak eksklusif” selama tiga tahun untuk perkhidmatan e-kerajaan yang disediakannya kepada Jabatan Pengangkutan Jalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.