
Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata pihak berkenaan kena sedar kalau tak kerana diperlukan dalam kerajaan perpaduan, BN memang tidak lagi diterima rakyat.
“Ia hanya akan jadi retorik ataupun lelucon masyarakat sahaja, kerana semua orang tahu rakyat menantikan pembaharuan dan tidaklah logo itu masih dianggap pilihan rakyat,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Pengarah Pilihan Raya BN, Mohamad Hassan, mengumumkan BN akan menggunakan lambang dacing pada PRN nanti dan sedang mempertimbangkan hasrat sekutu menggunakan lambangnya untuk “memberi impak lebih baik” di negeri tertentu.
BN gagal mempertahankan statusnya sebagai pemerintah di peringkat persekutuan pada PRU14 dan tidak berjaya menawan Putrajaya pada PRU15. Ia menyahut seruan membentuk kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan dan Gabungan Parti Sarawak, atas cadangan Istana Negara.
Namun sehingga kini, Salawati tidak nampak tanda-tanda rakyat menerima kembali Barisan Nasional, yang ditolak pengundi di sebalik pertuduhan rasuah terhadap beberapa pemimpinnya.
“Jadi kalau rakan-rakan nak juga (guna lambang dacing), mereka sebenarnya memang ‘berani mati’ lah. Berani mati memperjuang perkara yang mereka tahu rakyat tak nak.”
Dalam pada itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata idea itu kelihatan rasional bagi parti-parti yang kurang popular berbanding Barisan Nasional di negeri seperti Kelantan.
Tambahnya, sekutu menggunakan lambang parti rakan bukan benda baharu dalam politik tanahair, malah mungkin akan merapatkan lagi kerjasama antara mereka.
“Walaupun bukan semua tetapi sebahagian DUN yang mempunyai keinginan menggunakan logo BN, mereka yakin dapat meluaskan lagi sokongan pengundi menerusi strategi kerjasama di peringkat setempat,” katanya.