Belanda sedia bantu Melaka tambah baik tarikan Muzium Stadthuys

Belanda sedia bantu Melaka tambah baik tarikan Muzium Stadthuys

Selain berkongsi pengalaman, ilmu dan kepakarannya, Duta Besar Belanda ke Malaysia Jacques Werner juga akan menghubungi institusi atau individu yang boleh membantu usaha itu.

Bangunan Stadthuys di Melaka, yang dibina pada 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda, kini menempatkan beberapa muzium dan galeri. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Duta Besar Belanda ke Malaysia Jacques Werner bersedia membantu kerajaan Melaka menambah baik tarikan dan acara di Muzium Stadthuys.

Selain berkongsi pengalaman, ilmu dan kepakarannya, beliau juga akan menghubungi mana-mana institusi atau individu yang boleh membantu usaha itu.

“Kami akan cuba membantu kerajaan negeri membantu menambah baik apa yang sudah ada di Melaka, termasuk memulangkan mana-mana peninggalan bersejarah Melaka yang diambil semasa situasi perang,” katanya kepada media ketika ditemui di majlis penutup bengkel pameran di bangunan itu hari ini.

“Pastinya ia bukan hak saya untuk putuskan… tetapi saya akan cuba jika saya boleh hubungi orang atau institusi yang sudi berkongsi koleksi mereka, memandangkan saya lihat adanya keinginan yang besar untuk mendapatkan lebih banyak artifak daripada Belanda untuk muzium ini (Stadthuys).”

Duta Besar Belanda ke Malaysia Jacques Werner.

Turut hadir Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan Zaidi Attan dan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka Akramuddin Abdul Aziz.

Menyambut baik hasrat Werner itu, Zaidi berkata, kerajaan negeri berharap kerjasama daripada kedutaan Belanda itu akan dapat meningkatkan perkongsian dan pertukaran ilmu, kepakaran, malah artifak, yang sekali gus akan menambah baik kualiti muzium berkenaan.

Katanya, meskipun belum ada perbincangan mengenai usaha membawa pulang artifak atau manuskrip Melaka di Belanda, ia perlu diteliti dari pelbagai aspek dan usaha perlu dilaksanakan ke arah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.