
Katanya, sekiranya masih bergerak atas landasan politik beliau berpandangan orang Melayu dari parti politik lain tidak begitu selesa menyokong proklamasi digerakkan itu.
“Proklamasi ini bertujuan menyatu orang Melayu melangkaui garis politik.
“Ini bermakna orang Melayu yang juga ahli Umno, Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan Amanah serta juga segelintir yang ada di dalam DAP, jika berkongsi kesedaran yang ditimbul oleh proklamasi ini akan turut menandatanganinya,” katanya dalam ciapan di Twitter.
Bekas perdana menteri itu, berkata apabila orang Melayu bersatu dan bersetuju menerusi kesedaran ditimbul dalam proklamasi berkenaan, maka ia menjadi tanggungjawab setiap parti berlandas perjuangan Melayu.
“Yang penting ialah mendapatkan sokongan orang Melayu untuk proklamasi ini. Jadi, tidak timbul saya mengetepi mana-mana parti politik Melayu yang wujud,” katanya.
Terdahulu, Mahathir mengesahkan tidak lagi bersama GTA mahupun memegang sebarang jawatan dalam gerakan itu.
Memetik Astro Awani, beliau membuat keputusan demikian selepas menyedari GTA tidak dapat berfungsi dengan baik, serta gagal menarik sokongan pengundi seperti pada PRU15.
Pada Ogos tahun lalu, Mahathir mengumumkan penubuhan GTA, yang dianggotai Pejuang, dua parti kecil dan profesional Melayu untuk bertanding dalam PRU15 pada November.
Malangnya, semua calonnya kecundang dan hilang wang deposit, termasuk Mahathir dan anaknya, Mukhriz yang mendapat kurang 1/8 undi di kerusi Parlimen Langkawi dan Jerlun.