
Kan Weng Hin dan Ling Xin Jing berkata, Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 mesti dipinda untuk memberi lebih kepentingan kepada kehendak anak-anak.
Pada masa ini, hak penjagaan untuk anak yang lebih muda secara amnya diberikan kepada ibu, berdasarkan anggapan bahawa ia adalah demi kepentingan terbaik kanak-kanak itu.
Bagaimanapun, mahkamah juga boleh mempertimbangkan kehendak anak semasa membuat perintah jagaan. Ini dengan syarat kanak-kanak itu cukup matang untuk menyuarakan pendapat bebas.
Memandangkan undang-undang tidak menyatakan pada umur berapa kehendak anak perlu dipertimbangkan, perkara itu kini diserahkan kepada budi bicara hakim mahkamah keluarga.
Ini sering menjadi titik perbalahan dalam mendapatkan hak penjagaan.
Dalam kebanyakan kes, anak kepada ibu bapa yang bercerai terpaksa menghabiskan hujung minggu secara bergilir dengan penjaga mereka, kata Kan.
Namun, terdapat juga keadaan apabila ibu bapa yang tidak mempunyai hak penjagaan dilarang atau disekat daripada melihat anak-anak mereka.
Pengaruh ibu bapa yang mempunyai hak penjagaan terhadap anak tidak boleh dipandang remeh, katanya.
“Undang-undang semasa tidak memuaskan (kerana ia) tidak sesuai dengan kerumitan banyak situasi. Kaedah yang ada juga terhad untuk mahkamah membetulkan situasi ini,” kata Kan kepada FMT.
“Inilah sebabnya penting untuk mempunyai langkah-langkah proaktif seperti penglibatan kanak-kanak dan kaunselor terlatih khas supaya pengaturan yang lebih saksama dapat dicapai.”
Ling berkata kanak-kanak juga mesti dibenarkan untuk menyatakan hasrat mengenai sejauh mana akses sepatutnya dimiliki oleh ibu bapa yang tidak menjaga mereka.
Ini kerana anak mempunyai hak untuk berjumpa ibu bapa mereka, katanya.
“Malangnya, ibu bapa sering mengutamakan perasaan sendiri semasa bercerai berbanding kepentingan terbaik anak-anak,” katanya kepada FMT.
“Jika ibu bapa mengutamakan kepentingan terbaik anak-anak semasa perceraian, mereka akan mencari cara untuk meminimumkan kesannya, kerana niat boleh menjejaskan cara mengendalikan keperluan anak-anak.”